Berhadapan dengan pelajar kurang pintar bukan menjadi masalah bagi saya... namun lain bagi yang satu ini. Anak ini tidak pandai membaca walaupun berada di tingkatan 5. Perkara utama adalah bagaimana membantu dia membaca? Bersama tekad untuk membantu beberapa orang pelajar, mereka dibahagikan kepada beberapa orang guru untuk sistem mentor mentee mengajar anak-anak membaca dan saya mendapat pelajar yang satu ini. Setiap minggu sepatutnya dia akan berada bersama saya belajar membaca namun seringkali dia tidak menemui saya. Saya usahakan mengingatkan pertemuan kami dan dia belajar bersama saya. Begitulah anak ini apabila belajar yang baru yang lama dia tidak ingat langsung. Kesilapan saya, saya mengajarnya di bilik guru. Setiap kali belajar kadang kala dia dipersendakan oleh guru-guru. Lebih menyedihkan apabila anak ini tidak lagi ke sekolah. Saya cuma mendapat khabar dia sering kelihatan di bangunan kedai berhampiran sekolah tapi tidak pernah lagi memasuki kawasan sekolah. Tidak lama selepas itu saya mengikuti kursus pelajar-pelajar yang lemah pembelajaran. Ilmunya : pelajar-pelajar sepatutnya sudah boleh membaca pada usia 12 tahun. Sekiranya mereka masih tidak boleh membaca pada tingkatan 1, adalah sesuatu yang tidak normal. Pelajar ini mungkin pelajar yang tergolong dalam pelajar lemah pembelajaran. Dia mempunyai perasaan seperti orang lain, malu apabila dia tidak boleh menguasai seperti orang lain. Kadang-kadang disebabkan rasa rendah dirinya dia melakukan pelbagai kenakalan. Sayangnya, ilmu itu saya dapati setelah anak ini tidak lagi bersekolah mungkin disebabkan rasa malunya. Lebih perih apabila saya mendengar khabar-khabar angin yang dia seperti penagih syabu. Alangkah sedihnya apabila anak ini gagal saya didik, gagal saya bantu dan sehingga hari ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya. Kalaulah waktu itu boleh saya undur dan mengubahnya menjadi sesuatu yang berlainan. Hanya doa yang boleh saya panjatkan mudahan-mudahan dia tetap berguna untuk dirinya, ibu bapanya, agama dan masyarakatnya.Pengajaran untuk saya : belajar mengenali pelajar, hormati mereka kerana dia adalah manusia seperti kita.