Saturday, 17 May 2014

Cerita saya

Hari guru sering mengingatkan saya kepada kisah ini. Kisah yang meninggalkan kesan yang dalam.

Berhadapan dengan pelajar kurang pintar bukan menjadi masalah bagi saya... namun lain bagi yang satu ini. Anak ini tidak pandai membaca walaupun berada di tingkatan 5. Perkara utama adalah bagaimana membantu dia membaca? Bersama tekad untuk membantu beberapa orang pelajar, mereka dibahagikan kepada beberapa orang guru untuk sistem mentor mentee mengajar anak-anak membaca dan saya mendapat pelajar yang satu ini. Setiap minggu sepatutnya dia akan berada bersama saya belajar membaca namun seringkali dia tidak menemui saya. Saya usahakan mengingatkan pertemuan kami dan dia belajar bersama saya. Begitulah anak ini apabila belajar yang baru yang lama dia tidak ingat langsung. Kesilapan saya, saya mengajarnya di bilik guru. Setiap kali belajar kadang kala dia dipersendakan oleh guru-guru. Lebih menyedihkan apabila anak ini tidak lagi ke sekolah. Saya cuma mendapat khabar dia sering kelihatan di bangunan kedai berhampiran sekolah tapi tidak pernah lagi memasuki kawasan sekolah. Tidak lama selepas itu saya mengikuti kursus pelajar-pelajar yang lemah pembelajaran. Ilmunya : pelajar-pelajar sepatutnya sudah boleh membaca pada usia 12 tahun. Sekiranya mereka masih tidak boleh membaca pada tingkatan 1, adalah sesuatu yang tidak normal. Pelajar ini mungkin pelajar yang tergolong dalam pelajar lemah pembelajaran. Dia mempunyai perasaan seperti orang lain, malu apabila dia tidak boleh menguasai seperti orang lain. Kadang-kadang disebabkan rasa rendah dirinya dia melakukan pelbagai kenakalan. Sayangnya, ilmu itu saya dapati setelah anak ini tidak lagi bersekolah mungkin disebabkan rasa malunya. Lebih perih apabila saya mendengar khabar-khabar angin yang dia seperti penagih syabu. Alangkah sedihnya apabila anak ini gagal saya didik, gagal saya bantu dan sehingga hari ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati saya. Kalaulah waktu itu boleh saya undur dan mengubahnya menjadi sesuatu yang berlainan. Hanya doa yang boleh saya panjatkan mudahan-mudahan dia tetap berguna untuk dirinya, ibu bapanya, agama dan masyarakatnya.Pengajaran untuk saya : belajar mengenali pelajar, hormati mereka kerana dia adalah manusia seperti kita. 

Tuesday, 1 May 2012

Kemahiran Belajar



12 Kemahiran Untuk Pelajar

Ramai pelajar mengeluh kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk mengulang kaji tetapi pulangannya tidak seberapa. Sebaliknya terdapat segolongan kecil pelajar, belajar dalam keadaan yang lebih selesa, tidak terkocoh tetapi dapat pula meluangkan masa untuk beriadah dan turut melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Walaupun begitu, mutu dan pencapaian akademik mereka tidak terjejas.
Persoalannya, mengapakah dua keadaan di atas boleh terjadi? Biasanya, jawapan yang diberikan ialah pelajar dalam kumpulan kedua didakwa mempunyai keupayaan mengingat yang lebih jika dibandingkan dengan para pelajar daripada kumpulan pertama. Hipotesis ini mungkin betul, tetapi yang lebih tepat ialah ramai pelajar tidak mempunyai teknik belajar yang berkesan. Mereka belajar hanya mengikut rasa dan resa sahaja. Akibatnya, masa dan tenaga banyak terbuang, tetapi hasilnya tidak seperti mana yang disarankan oleh Gwen Gawith di dalam bukunya Power Learning. Kita kongsi 12 kemahiran yang perlu ada untuk menjana kecemerlangan.

Pelajar dan Pemelajaran
Setiap pelajar mestilah mengetahui akan tujuan dia belajar. Adakah dia belajar untuk mendapatkan ilmu dan kecemerlangan atau belajar kerana mengikut rakan-rakan sahaja dan dipaksa oleh ibu bapa ? Oleh itu, para pelajar mestilah menanamkan tekad bahawa tujuannya belajar adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan dalam semua bidang sama ada yang berkaitan dengan rohani atau jasmani. Setelah yakin bahawa anda ingin belajar, maka ketahuilah pula apakah tugas dan tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar.

Pengurusan Diri
Sebagai seorang pelajar, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan alam persekolahan dan persekitaran pemelajaran yang stabil. Jadikanlah sekolah tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan. Pandai-pandailah membawa diri bersama rakan dan taulan serta tidaklah pula menjadikan guru sebagai musuh. Ingatlah, guru adalah ibu bapa kedua kita. Tiada guru yang ingin merosakkan pelajarnya. Perkara yang paling penting pelajar mestilah pandai membawa diri dengan sifatnya sebagai seorang pelajar.

Mengurus Masa
Untuk menjadi pelajar yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk belajar, beriadah, bergiat dalam kegiatan kokurikulum, menonton televisyen dan sebagainya. Anda juga perlu tahu perkara paling penting, kurang penting atau tidak penting langsung yang harus ditinggalkan. Di samping itu, pelajar mestilah berkebolehan mengingati sesuatu dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Rancang tindakan berdasarkan matlamat yang telah anda sasarkan. Anda perlu ada perancangan mengikut jangka masa atau tempoh tertentu. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.

Kemahiran Berfikir
Untuk menjadi pelajar yang berjaya, pelajar mesti keupayaan berfikir secara kritis dan positif. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan. Di samping itu, pelajar juga mestilah berfikiran matang dan tidak hanya mengikut logik semata-mata.

Kemahiran Belajar
Belajar bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukanlah sesuatu yang sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, para pelajar mestilah menguasai kemahiran belajar yang sistematik. Belajar secara terancang mengikut kesesuaian dan kebolehan anda. 

Kemahiran Membaca
Boleh dikatakan semua pelajar boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas, dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Oleh itu, para pelajar mestilah menguasai kemahiran membaca dengan sebaik mungkin.

Kemahiran Menyelidik
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting, misalnya pelajar mestilah tahu apa yang telah dan akan dilakukan. Oleh itu, pelajar mestilah mempunyai arah dan tujuan yang positif. Janganlah hendaknya hidup hanya mengikut arus sahaja.

Kemahiran Berfikir
Bagi memahami dan mendalami ilmu pengetahuan, setiap pelajar mesti mahir merujuk dan menyelidik sama ada daripada buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah, dan sebagainya. 
Kemahiran Membuat Nota
Terdapat pelbagai cara dan kaedah membuat nota, tetapi yang penting, nota yang anda buat mestilah memudahkan anda memahaminya. Jika kita hanya membaca atau menyelidik tanpa mencatatnya di dalam buku nota, kesannya tidak akan sampai ke mana dan tidak bertahan lama.

Kemahiran Menyampaikan
Setelah anda membaca, berfikir, belajar dan membuat nota, seharusnya anda mahir pula menyampaikan kembali apa yang anda fahami dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.(Yang ini perlu rajin buat latihan, hantar dengan guru-guru mata pelajaran skrip jawapan anda dan minta guru semak, adakah jawapan anda betul dan menepati kehendak soalan)
Teknik Peperiksaan
Setiap pelajar akan dinilai melalui peperiksaan. Oleh itu, pelajar mesti berkebolehan menguasai teknik-teknik peperiksaan seperti keupayaan menganalisis soalan, mengetahui takrif soalan dan menjawab soalan.
Kemahiran Menilai
Pelajar mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika kita gagal. Adalah lebih baik kita menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan-kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya.

Kesimpulannnya, jika para pelajar dapat menguasai kesemua kemahiran di atas dengan berkesan dan bersistematik, sudah pasti kejayaan memihak kepada anda. Walau bagaimanapun, dalam keadaan apa sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.

Semua usaha perlu diiringi dengan doa, pergantungan kepada Allah dan tawakal. Elakkan melakukan perkara yang dilarang dan taat segala suruhanNya untuk menjadi hamba yang disayangi. 

OK. sedikit perkongsian daripada saya. Kalau ada mana-mana kemahiran yang lebih kurang tu, pandai-pandailah analisis sendiri... kemahiran menganalisis pulak...he3x

Friday, 17 February 2012

Kehidupan yang singkat

Bercerita tentang kebaikan mengingatkan saya pada arwah Ayong, sepupu yang sangat akrab, dirasakan bagai abang sendiri. Perginya pada usia 30 tahun membawa seribu kenangan bersamanya... Membawa pelbagai kebaikan yang pernah dilakukannya. Siapa sangka seorang abang yang begitu sihat, ceria, penuh gurauan meninggalkan keluarga yang masih lagi memerlukannya. Sehingga hari ini saya masih lagi berada antara percaya dengan tidak apabila Ayong meninggalkan kami. Anak sulung yang sentiasa menunjukkan pertanggungjawabannya. Sentiasa menjadi abang buat kami semua. Dia sentiasa mendorong kami semua. Peribadinya sentiasa menjadi contoh. Tapi itulah kehidupan. Itulah ketetapan yang telah ditentukan untuknya. Pergi pada usia muda, meninggalkan bersama dua anak yang masih memerlukannya. Dia dipinjamkan untuk menjadi contoh kepada kami. Dia diambil untuk mengingatkan kita bahawa bila-bila masa Allah akan mengambil kita. Suatu waktu yang tidak ada siapa yang tahu. Seketika mengingatkan saya juga pada arwah Along Saadiah , Angah dan Abang (keluarga angkat di kampung) yang telah pergi jua pada usia muda. Berapa banyak persediaan saya untuk menemuiNya? Berapa banyak kebaikan yang dilakukan untuk ditempatkan bersama-sama mereka yang mendapat janji kesenangan di akhirat?Berapa banyak dosa yang dilakukan lantaran kealpaan diri? Akhirnya, saya merumuskan saya harus berusaha menjadi yang terbaik, terbaik di sisinya biarpun saya tahu saya tidak sebaik mana. Mengharapkan rahmat dan keampunan meskipun diri sering kali leka dan terlupa.

Wednesday, 15 February 2012

Membuat kebaikan

Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;

Berfikir dari terjemahan Surah Al-Lail yang disedut dari blog Prof kamil... Merasakan betapa kerdilnya diri. Berapa banyak kebaikan yang dilakukan? Adakah kebaikan yang dilakukan untuk mendapat perhatian manusia atau perhatian Allah? Apakah dalam setiap kebaikan ada kata-kata berasa diri sudah cukup baik?Persoalan antara hati dan akal. Adakah saya sering mengira dalam kebaikan yang dilakukan atau mengira saya sudah cukup baik apabila sering melakukan kebaikan? Persoalan yang harus kita fikirkan...Justeru sebenarnya yang menggerakkan setiap tangan, hati, tubuh untuk melakukan kebaikan ialah Allah. Sebagai hamba kita tidak mampu menggerakkan walau sedikitpun jari-jemari tanpa izinNya. Itulah yang harus kita akui. 

Wednesday, 16 November 2011

Nikmat Kesihatan

Sudah beberapa hari saya tidak menulis di sini. Kurang sihat... Tiga minggu saya batuk dan akhirnya terpaksa akur ada asthma. Pada waktu begini saya mula teringat kata-kata Ustaz Don di siaran 114. Manusia selalu lupa nikmat sihat dan waktu lapang. Akibat batuk, saya mengalami sakit dada, pinggang, dan hampir seluruh badan sakit-sakit. Saya solat wajib hanya duduk disebabkan badan yang agak lemah. Sudah beberapa hari juga tidak mengaji Al-Quran. Sasaran sekurang-kurangnya 100 ayat sehari tidak kesampaian. Solat Dhuha juga mula ditinggalkan. Baru saya rasa nikmat kesihatan yang Allah berikan selama ini. Ketika saya sakit ini bersungguh-sungguh saya berdoa agar dikembalikan kesihatan seperti sedia kala. Banyak perkara yang ingin dilakukan tertangguh. Pelbagai perkara yang difikirkan termasuk kematian apatah lagi baru-baru ini seorang rakan suami meninggal setelah jatuh dari tangga lobi hotel. Alangkah singkatnya nyawa manusia! Betapa pula kita tidak pernah mengetahui kehidupan kita sesingkat atau sepanjang mana. Saya akur dengan kurniaan Allah ini. Jika kita renung dalam-dalam kesakitan itulah yang sering menyedarkan kita, memberi peringatan buat kita. Secara tidak sedar, mungkin ini ujian Allah untuk mengampunkan dosa-dosa saya. Hanya zikir 'La ila ha illa anta, Subbahanaka inni kuntu minazzalimin' , yang bermaksud 'Tiada Tuhan melainkan Engkau, Sesungguhnya aku tergolong daripada golongan yang zalim' yang terus diucapkan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan buat dosa-dosa saya.

Wednesday, 9 November 2011

Alahai...baju batik

Hari ini saya mendapat perhatian ramai. Hanya disebabkan salah hari pakai baju batik. Apabila kita lakukan sesuatu lain daripada kebiasaan sudah tentu mendapat perhatian... Itulah norma kehidupan. Dalam malu nak ketawapun ada hanya kerana salah 'time' pakai baju batik apatah lagi batik seragam sekolah. Alahai belum 60-an dah nyanyuk. Macamanalah kalau saya pilih pencen 60 ya?  Silap-silap hari-hari masuk salah kelas. Itulah manusia bersifat 'nasia' / pelupa. Justeru akibat kelemahan manusia itu perlu ia sering diingatkan agar tak terus tenggelam dalam kelupaannya.

Tuesday, 8 November 2011

Harapanku

Apabila saya bacakan sajak ini di hadapan para pelajar dan ibu bapa semasa mohon restu, saya terfikir adakah pelajar dapat merasai apa yang saya rasa? Adakah perasaan mereka hanya untuk sementara... sementara apabila diingatkan. Bagaimana ya untuk menyampaikan perasaan sayang saya pada mereka? Peperiksaan STPM semakin dekat dan saya semakin berdebar. Persediaan mereka, fokus mereka dan yang paling penting saya sangat mengharapkan pada saat-saat akhir ini mereka tidak putus berharap pada Allah yang Esa. Saya cuma berharap agar mereka tidak menyebabkan saya rasa menyesal dan terkilan jika mereka gagal dalam subjek saya. Jangan didebabkan gagal Pengajian Am, mereka gagal ke IPT. Tolong anak-anak... Lakukan yang terbaik... Mama sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian.