Wednesday, 16 November 2011

Nikmat Kesihatan

Sudah beberapa hari saya tidak menulis di sini. Kurang sihat... Tiga minggu saya batuk dan akhirnya terpaksa akur ada asthma. Pada waktu begini saya mula teringat kata-kata Ustaz Don di siaran 114. Manusia selalu lupa nikmat sihat dan waktu lapang. Akibat batuk, saya mengalami sakit dada, pinggang, dan hampir seluruh badan sakit-sakit. Saya solat wajib hanya duduk disebabkan badan yang agak lemah. Sudah beberapa hari juga tidak mengaji Al-Quran. Sasaran sekurang-kurangnya 100 ayat sehari tidak kesampaian. Solat Dhuha juga mula ditinggalkan. Baru saya rasa nikmat kesihatan yang Allah berikan selama ini. Ketika saya sakit ini bersungguh-sungguh saya berdoa agar dikembalikan kesihatan seperti sedia kala. Banyak perkara yang ingin dilakukan tertangguh. Pelbagai perkara yang difikirkan termasuk kematian apatah lagi baru-baru ini seorang rakan suami meninggal setelah jatuh dari tangga lobi hotel. Alangkah singkatnya nyawa manusia! Betapa pula kita tidak pernah mengetahui kehidupan kita sesingkat atau sepanjang mana. Saya akur dengan kurniaan Allah ini. Jika kita renung dalam-dalam kesakitan itulah yang sering menyedarkan kita, memberi peringatan buat kita. Secara tidak sedar, mungkin ini ujian Allah untuk mengampunkan dosa-dosa saya. Hanya zikir 'La ila ha illa anta, Subbahanaka inni kuntu minazzalimin' , yang bermaksud 'Tiada Tuhan melainkan Engkau, Sesungguhnya aku tergolong daripada golongan yang zalim' yang terus diucapkan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan buat dosa-dosa saya.

No comments:

Post a Comment