Wednesday, 16 November 2011

Nikmat Kesihatan

Sudah beberapa hari saya tidak menulis di sini. Kurang sihat... Tiga minggu saya batuk dan akhirnya terpaksa akur ada asthma. Pada waktu begini saya mula teringat kata-kata Ustaz Don di siaran 114. Manusia selalu lupa nikmat sihat dan waktu lapang. Akibat batuk, saya mengalami sakit dada, pinggang, dan hampir seluruh badan sakit-sakit. Saya solat wajib hanya duduk disebabkan badan yang agak lemah. Sudah beberapa hari juga tidak mengaji Al-Quran. Sasaran sekurang-kurangnya 100 ayat sehari tidak kesampaian. Solat Dhuha juga mula ditinggalkan. Baru saya rasa nikmat kesihatan yang Allah berikan selama ini. Ketika saya sakit ini bersungguh-sungguh saya berdoa agar dikembalikan kesihatan seperti sedia kala. Banyak perkara yang ingin dilakukan tertangguh. Pelbagai perkara yang difikirkan termasuk kematian apatah lagi baru-baru ini seorang rakan suami meninggal setelah jatuh dari tangga lobi hotel. Alangkah singkatnya nyawa manusia! Betapa pula kita tidak pernah mengetahui kehidupan kita sesingkat atau sepanjang mana. Saya akur dengan kurniaan Allah ini. Jika kita renung dalam-dalam kesakitan itulah yang sering menyedarkan kita, memberi peringatan buat kita. Secara tidak sedar, mungkin ini ujian Allah untuk mengampunkan dosa-dosa saya. Hanya zikir 'La ila ha illa anta, Subbahanaka inni kuntu minazzalimin' , yang bermaksud 'Tiada Tuhan melainkan Engkau, Sesungguhnya aku tergolong daripada golongan yang zalim' yang terus diucapkan. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan buat dosa-dosa saya.

Wednesday, 9 November 2011

Alahai...baju batik

Hari ini saya mendapat perhatian ramai. Hanya disebabkan salah hari pakai baju batik. Apabila kita lakukan sesuatu lain daripada kebiasaan sudah tentu mendapat perhatian... Itulah norma kehidupan. Dalam malu nak ketawapun ada hanya kerana salah 'time' pakai baju batik apatah lagi batik seragam sekolah. Alahai belum 60-an dah nyanyuk. Macamanalah kalau saya pilih pencen 60 ya?  Silap-silap hari-hari masuk salah kelas. Itulah manusia bersifat 'nasia' / pelupa. Justeru akibat kelemahan manusia itu perlu ia sering diingatkan agar tak terus tenggelam dalam kelupaannya.

Tuesday, 8 November 2011

Harapanku

Apabila saya bacakan sajak ini di hadapan para pelajar dan ibu bapa semasa mohon restu, saya terfikir adakah pelajar dapat merasai apa yang saya rasa? Adakah perasaan mereka hanya untuk sementara... sementara apabila diingatkan. Bagaimana ya untuk menyampaikan perasaan sayang saya pada mereka? Peperiksaan STPM semakin dekat dan saya semakin berdebar. Persediaan mereka, fokus mereka dan yang paling penting saya sangat mengharapkan pada saat-saat akhir ini mereka tidak putus berharap pada Allah yang Esa. Saya cuma berharap agar mereka tidak menyebabkan saya rasa menyesal dan terkilan jika mereka gagal dalam subjek saya. Jangan didebabkan gagal Pengajian Am, mereka gagal ke IPT. Tolong anak-anak... Lakukan yang terbaik... Mama sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian.

Wednesday, 2 November 2011

Harapan Guru

Dalam renung ada harap yang dalam,
Dalam senyum ada hati bergelut resah,
Dalam marah ada doa yang dipanjangkan,
Mohon anak-anak berjaya menggapai gemilang,
Hakikatnya anak-anak...
Lena guru mimpi ngeri silih berganti,
Tawanya, ada debar yang tak sudah...

Anak-anak didik generasi wawasan,

Harapan kami...jadimu nanti,
Seorang Menteri berjiwa luhur membela rakyat,
Seorang peguam petah bicara bersikap saksama,
Seorang jurutera binaannya tegar membuka mata dunia,
Seorang arkitek lakarannya disebut di mana-mana,
Seorang penulis karyanya terkemuka,
Seorang pensyarah menjana cendekia,
Seorang guru hatinya tulus membina insan berjaya,
Seorang graduan visinya jelas ketara,
Seorang ulama telus tarbiyahnya dan...
Semua orang menjadi insan berguna,
Semua orang sejahtera dan bahagia,
Kamilah yang paling bahagia,
Kamilah guru paling gembira,
Walau adakalanya kami tak pernah disapa,
Cukuplah mendengar jaya anak-anak didik kami melakar generasi baharu bangsa.

Justeru anak-anakku,
Langkah pertama perlu diatur,
Peperiksaan ditempuh sebagai pengukur,
Kukuhkan tekad rangkum kesungguhan,
Pastikan jaya dalam genggaman,
Alangkah bahagia pabila semua mengecap rasa,
Nikmat sebuah jaya,
Pabila institusi pengajian tinggi kaukunjungi,
Meraih jaya kegemilangan
Pabila jadimu anak-anak bangsa berguna,

Jaya hidup,
                   Jaya akhlak,
                                      Jaya budi.






Namun...
mimpi ngeri kami mohon dijauhi,
Andai lahirnya nanti...
Seorang pegawai tinggi memperkuda kuasa, memperkosa etika demi mengejar kedudukan dan harta,
Seorang wartawan menabur fitnah , mengadu domba,
Seorang peguam memutar fakta membela penista dan pendusta,
Seorang jurutera binaannya tersungkur akibat tipu helah dan rasuah,
Seorang Saintis hanya mengejar kemasyhuran nama dan keuntungan semerta,
Seorang akauntan melesapkan harta memenuhi tembolok yang haloba,
Seorang usahawan mendapat kekayaan mudah tanpa mengira akibat dan padah,
Seorang pendidik gagap bicara disebabkan penghayatan yang tidak bertenaga,
Seorang graduan malas bekerja lantaran mengharap pangkat dan gaji selesa,
Seorang suami melakukan kemungkaran menyara keluarga,
Semua orang bermaharajalela,
Beraja di hati bersultan di mata,
Meneroka kerosakan di mana-mana sahaja.

Kamilah insan paling kecewa,
Kerana gagal memanusiakan manusia,
Rasa silap dan salah menghantui minda,
Andai kami penyumbang budaya songsang kemelut yang melanda...

Lantaran itu anak-anak bangsaku,
Maaf andai kami tersilap,
Maaf, khilaf kami jika ada kata mengikut rasa,
Kerana kami juga manusia biasa.

EPILOG :

Anak-anak peneraju wawasan Negara,

Jika engkau tahu harapan menggunung ini,
Jika engkau rasa apa yang kami rasa,
Jika engkau mengerti apa yang kami bicara,
Kukuhkan langkahmu pastikan tidak sumbang,
Teruskan tekunmu bersama doa-doa kita,
Biarkan jaya dalam genggaman,
Pastikan ia milik kita,
Milik kita semua.


Nukilan:
RITA AZURA ABDUL MALEK
SMK KUHARA, TAWAU.
02/11/2011