Dalam renung ada harap yang dalam,
Dalam senyum ada hati bergelut resah,
Dalam marah ada doa yang dipanjangkan,
Mohon anak-anak berjaya menggapai gemilang,
Hakikatnya anak-anak...
Lena guru mimpi ngeri silih berganti,
Tawanya, ada debar yang tak sudah...
Anak-anak didik generasi wawasan,
Harapan kami...jadimu nanti,
Seorang Menteri berjiwa luhur membela rakyat,
Seorang peguam petah bicara bersikap saksama,
Seorang jurutera binaannya tegar membuka mata dunia,
Seorang arkitek lakarannya disebut di mana-mana,
Seorang penulis karyanya terkemuka,
Seorang pensyarah menjana cendekia,
Seorang guru hatinya tulus membina insan berjaya,
Seorang graduan visinya jelas ketara,
Seorang ulama telus tarbiyahnya dan...
Semua orang menjadi insan berguna,
Semua orang sejahtera dan bahagia,
Kamilah yang paling bahagia,
Kamilah guru paling gembira,
Walau adakalanya kami tak pernah disapa,
Cukuplah mendengar jaya anak-anak didik kami melakar generasi baharu bangsa.
Justeru anak-anakku,
Langkah pertama perlu diatur,
Peperiksaan ditempuh sebagai pengukur,
Kukuhkan tekad rangkum kesungguhan,
Pastikan jaya dalam genggaman,
Alangkah bahagia pabila semua mengecap rasa,
Nikmat sebuah jaya,
Pabila institusi pengajian tinggi kaukunjungi,
Meraih jaya kegemilangan
Pabila jadimu anak-anak bangsa berguna,
Jaya hidup,
Jaya akhlak,
Jaya budi.
Namun...
mimpi ngeri kami mohon dijauhi,
Andai lahirnya nanti...
Seorang pegawai tinggi memperkuda kuasa, memperkosa etika demi mengejar kedudukan dan harta,
Seorang wartawan menabur fitnah , mengadu domba,
Seorang peguam memutar fakta membela penista dan pendusta,
Seorang jurutera binaannya tersungkur akibat tipu helah dan rasuah,
Seorang Saintis hanya mengejar kemasyhuran nama dan keuntungan semerta,
Seorang akauntan melesapkan harta memenuhi tembolok yang haloba,
Seorang usahawan mendapat kekayaan mudah tanpa mengira akibat dan padah,
Seorang pendidik gagap bicara disebabkan penghayatan yang tidak bertenaga,
Seorang graduan malas bekerja lantaran mengharap pangkat dan gaji selesa,
Seorang suami melakukan kemungkaran menyara keluarga,
Semua orang bermaharajalela,
Beraja di hati bersultan di mata,
Meneroka kerosakan di mana-mana sahaja.
Kamilah insan paling kecewa,
Kerana gagal memanusiakan manusia,
Rasa silap dan salah menghantui minda,
Andai kami penyumbang budaya songsang kemelut yang melanda...
Lantaran itu anak-anak bangsaku,
Maaf andai kami tersilap,
Maaf, khilaf kami jika ada kata mengikut rasa,
Kerana kami juga manusia biasa.
EPILOG :
Anak-anak peneraju wawasan Negara,
Jika engkau tahu harapan menggunung ini,
Jika engkau rasa apa yang kami rasa,
Jika engkau mengerti apa yang kami bicara,
Kukuhkan langkahmu pastikan tidak sumbang,
Teruskan tekunmu bersama doa-doa kita,
Biarkan jaya dalam genggaman,
Pastikan ia milik kita,
Milik kita semua.
Nukilan:
RITA AZURA ABDUL MALEK
SMK KUHARA, TAWAU.
02/11/2011
No comments:
Post a Comment